Friday, February 21, 2014

PENGENALAN KEPADA MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN

Pengenalan

           Sistem pendidikan masa kini sedang mengalami perubahan yang amat pesat. Pelbagai kaedah baru diperkenalkan bagi menjadikan pengajaran guru lebih berkesan dan pembelajaran murid lebih bermakna (Jamalludin dan Zaidatun,2003).  Multimedia merupakan salah satu daripada kaedah baru yang mampu mencapai tujuan tersebut.

          Menurut Jamalludin dan Zaidatun(2005), perkataan multimedia yang digunakan sejak 1970-an membawa pengertian yang berbeza dengan takrifan multimedia sekarang. Persembahan slaid yang diiringi kesan bunyi, persembahan yang menggabungkan audio-visual menerusi televisyen, persembahan teater dengan sokongan elemen video, penggunaan transparensi dengan sokongan grafik berwarna warni misalnya dianggap sebagai satu persembahan multimedia. Ia selaras dengan definisi multimedia ketika itu, iaitu penggunaan pelbagai jenis media iaitu penggunaan lebih dari satu media dalam satu persembahan walalaupun media yang digunakan terpisah atau terasing antara satu sama lain.

       Pada pertengahan tahun 1980-an, iaitu apabila teknologi komputer semakin maju dan mula mendominasi setiap aspek kehidupan manusia, multimedia mula dikaitkan dengan persembahan menerusi penggunaan komputer yang menggabungjalinkan lima media utama iaitu teks, grafik, audio, video dan animasi. Ia melibatkan penggunaan kombinasi mana-mana dua atau lebih media yang telah dinyatakan. Kepelbagaian media di dalam satu persembahan multimedia bukan lagi terasing tetapi kini diintegrasikan bersama di dalam satu sistem menerusi teknologi komputer.

          Definisi multimedia yang diberikan oleh Webopedia pula ialah penggunaan komputer untuk mempersembahkan teks, grafik, video, animasi dan bunyi dalam cara yang diintegrasikan. Ia selaras dengan definisi yang diberikan oleh Multimedia Development Corporation Sdn Bhd iaitu multimedia adalah kombinasi yang melibatkan penggunaan teks, grafik, bunyi, animasi dan video.  Di rumah, program multimedia boleh didapati di dalam komputer, televisyen dan peralatan hiburan. Ia menyalurkan berita, sukan, permainan elektronik dan wayang gambar ke rumah. Ia juga membolehkan kita membeli belah, berbual dan bermain melalui komputer dan internet tanpa keluar rumah. Di sekolah, multimedia memudahkan kita mencari maklumat dan mempelajari kemahiran baru dengan cara yang menarik dan di sudut rekreasi pula, multimedia telah mempelbagaikan permainan kanak-kanak. Permainan elektronik amat menyeronokkan. Kita bukan sahaja boleh bermain sendirian atau dengan rakan setempat malah melalui internet kita boleh bermain dengan kawan-kawan di seluruh dunia.

         Perkembangan teknologi multimedia menjanjikan potensi besar dalam merubah cara seseorang belajar, cara memperoleh maklumat, cara mentafsir dan menggunakan maklumat dan sebagainya. Kehadiran teknologi multimedia menerusi internet menambahkan lagi kemampuan proses capaian maklumat di mana setiap maklumat dalam pelbagai bentuk dan pendekatan dapat dicapai dengan lebih mudah dan pantas.


1 comment:

  1. kepada sesiapa yang nak copy + paste, pastikan anda paste as words only, kalu x, nanti dengan highlight2 kelabu tu skali akan terpaste. :)

    ReplyDelete

Nasihat Menasihati Itu Penting... So, Comment La Ape-ape saje...