Friday, February 21, 2014

IMPLIKASI MULTIMEDIA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Mudah Memahami Konsep

            Penggunaan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep. Dengan adanya gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi, pelajar lebih mudah memahami konsep yang ingin disampaikan oleh guru. Sebagai contoh, dalam mengajar Sistem Pencernaan Manusia, guru boleh menggunakan teks, grafik dan animasi bagi menunjukkan apa yang berlaku kepada makanan yang dimakan oleh seseorang bermula daripada makanan itu dimasukkan ke dalam mulut sehinggalah ia diserap ke dinding usus dan bahan buangan dikeluarkan dari badan sebagai najis.

            Dalam topik Sudut Dongakan dan Sudut Tunduk dalam Matematik Tingkatan Empat, misalnya, penggunaan gambar dan video boleh digunakan bagi menunjukkan penggunaan konsep nisbah trigonometri dan sudut dongakan dan sudut tunduk untuk menyelesaikan masalah harian seperti menganggar tinggi tiang bendera. Dengan cara ini, konsep yang dibina dapat diperkukuhkan lagi.


Mengingat Lebih Lama

            Dalam dunia pendidikan, penilaian dalam bentuk ujian dan peperiksaan amat penting bagi menguji keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keputusan peperiksaan yang cemerlang amat penting bagi pelajar untuk melayakkan diri mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

            Setiap pelajar mempunyai kemampuan pembelajaran yang berbeza (Gardner, 1993). Pelajar yang pencapaiannya sederhana dalam sesuatu mata pelajaran perlu dibantu bagi membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Dalam zaman era teknologi maklumat ini, multimedia dapat membantu pelajar ke arah itu. Konsep yang digunakan ialah ‘membawa guru balik ke rumah pelajar bagi membantu pelajar membuat ulangkaji’.

            Menurut Gagne (1985) untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran pelajar perlu mengulangi pelajaran itu beberapa kali. Kaedah pembelajaran berulang menjadikan sesuatu perkara itu mudah difahami dan diingati lebih lama. Penghasilan VCD Fokus Skrin, dengan merakam penerangan guru mengenai sesuatu konsep dan rakaman dibuat  berfokus kepada skrin komputer atau LCD.

            Pelajar seolah-olah melihat penerangan guru kepada sesuatu konsep di rumah dan jika kurang faham boleh diulangtayang seberapa banyak kali yang dikehendaki sehingga faham. Ini dapat mengatasi defisit pembelajaran di dalam kelas. VCD ini boleh digunakan juga apabila hampir dengan peperiksaan untuk mengingat kembali konsep yang telah diajar.


Menarik minat pelajar

            Sesetengah mata pelajaran seperti Matematik, merupakan suatu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan pelajar. Penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat menarik minat pelajar kepada subjek berkenaan. Multimedia memudahkan pemahaman-pemahaman idea-idea Matematik yang abstrak. Ia membantu dalam penyiasatan masalah Matematik dan menunjukkan maklumbalas perubahan bentuk objek atau ukuran secara spontan. Contohnya, dengan perisian Geometer’s Sketchpad (GSP), perubahan satu titik pada objek akan mengubah bentuk objek tersebut, perubahan nilai data akan mengubah nilai data berkaitan secara spontan dalam MS-Excel.

            Guru perlu menunujukkan sikap yang positif terhadap matematik kerana ia akan memberikan kesan kepada sikap pelajar. Guru yang menunjukkan minat terhadap matematik akan mendorong pelajar untuk meminatinya. Biasanya minat pelajar berdasarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi seperti komputer dan internet. Para guru boleh mendapatkan maklumat daripada laman-laman web matematik yang ada dan menggabungkannya dengan konsep yang diberikan dalam buku teks dan buku rujukan dalam membina  bahan pengajaran sendiri dengan menggunakan perisian GSP dan MS-Powerpoint. Dengan bahan pengajaran dalam bentuk multimedia ini dapat mengurangkan rasa bosan pelajar terhadap matematik.


Penjimatan masa

            Masa itu emas. Ia sangat berharga terutama  kepada seorang guru dan pelajar. Melalui bahan multimedia yang telah disediakan sendiri atau melalui bahan pengajaran yang dibekalkan kepada sekolah, guru dapat menjimatkan masa melukis rajah yang agak kompleks di atas papan tulis. Contohnya dalam matapelajaran Biologi, guru tidak perlu melukis rajah jantung di papan tulis. Dengan mudah rajah jantung boleh diperolehi daripada internet dan guru hanya perlu muat turun rajah dan maklumat tersebut seterusnya boleh ditayangkan kepada pelajar di dalam kelas menggunakan projektor LCD. Bahan ini boleh digunakan untuk mengajar kelas-kelas yang lain atau boleh digunakan oleh guru-guru yang lain dengan mudah dan cepat.

            Dengan menggunakan kaedah auditori dan visual dalam mempersembahkan maklumat, pelajar dapat memproses maklumat itu dengan lebih cepat dan dengan itu proses pembelajaran dapat digalakkan.(Michelich.V.,2001)


Kaedah mengajar berpusatkan murid – guru bertindak sebagai pembimbing

            Menurut kajian yang dilakukan Al Ghamdi (1987), mendapati bahawa perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip Matematik dengan mudah dan efektif.

            Menurut Key Curriculum Press (2001) Perisian Geometer’s Skechpad, GSP ialah sebuah sistem perisian untuk membina , meneroka dan menganalisis secara luas dalam bidang Matematik. Menggunakan perisian ini kita boleh meneroka dan membina model Matematik interaktif daripada penyiasatan yang asas hingga ilustrasi yang kompleks. Sebagai contoh guru boleh membimbing pelajar menyiasat nisbah perimeter kepada diameter bagi beberapa buah bulatan untuk mendapatkan nilai π iaitu 3.142 atau , meneroka soalan-soalan berkaitan dengan tangent sebuah bulatan dan masalah-masalah terbuka. Pelajar boleh melakukan pembinaan geometri dan mereka sendiri menentukan formula untuk menghuraikan perhubungan-perhubungan yang mereka temui. Selain daripada itu pelajar boleh melihat dengan jelas bagaimana penjelmaan yang terdiri daripada translasi, pantulan, putaran dan pembesaran berlaku, menerangkan sifat-sifat setiap penjelmaan itu secara meneroka dan menyiasat. Ini boleh menarik minat pelajar terhadap keindahan matematik dan cuba mengaitkannya dengan dunia sebenar.


Membina kemahiran kolaboratif pada pelajar – beri satu projek multimedia

            Penggunaan multimedia di dalam kelas (Ju-Ping Chung, 2004) boleh membina pengajaran berpusatkan murid yang mana dapat membantu murid memperkembangkan kemahiran koperatif, meneroka dan menyiasat. Guru boleh memberi satu tugasan kepada pelajar secara berkumpulan dan pelajar diminta menggunakan perisian MS-Powerpoint dan maklumat daripada internet bagi mempersembahkan tugasan tersebut. Bagi menjimatkan masa laman web yang berkenaan diberi kepada setiap kumpulan. Guru membimbing pelajar dalam melaksanakan tugasan tersebut. Ini secara tidak langsung dapat mendorong pelajar mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.


Kemahiran mencari dan menganalisis maklumat

            Dengan menggunakan teknologi komunikasi, guru dan pelajar memperoleh kemahiran baru untuk mengajar dan belajar. Menurut Ashnida, Afendi & Shabri (2004), tugas guru yang menggunakan PBBK (Pengajaran Bahasa Berbantukan Komputer) di dalam kelas meliputi semua aspek iaitu sebagai fasilitator, pengurus sumber dan juga pengajar. Guru membimbing pelajar membuat tugasan masing-masing. Pada pihak pelajar pula, mereka dapat belajar bagaimana cara untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan mengaplikasikan maklumat yang didapati ke dalam tugasan mereka.


Membimbing pelajar membina kemahiran berfkir secara kritis dan kreatif  dalam menyelesaikan masalah dan  memberi peluang kepada pelajar menyerlahkan kebolehan mereka di dalam kelas

            Bagi sekolah-sekolah di Malaysia Matematik dianggap sebagai satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia,2000) Berpegang pada pandangan tersebut, kurikulum Matematik peringkat sekolah bertujuan membentuk pelajar yang berpemikiran mantik, bersistem serta berketrampilan dalam menggunakan pengetahuan matematik secara berkesan.

            Dengan menggunakan teknologi multimedia melalui komputer dan internet, pelajar dapat dibimbing mencari maklumat-maklumat tambahan daripada apa yang terdapat di dalam buku teks. Mereka dapat melihat bagaimana sesuatu masalah itu dapat diselesaikan menggunakan kaedah yang berbagai-bagai. Ini dapat membina kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah.

            Dalam dunia pekerjaan sekarang, kemahiran menggunakan teknologi komputer dan multimedia amat diperlukan. Dengan pendedahan di peringkat sekolah iaitu melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, dapat menambah literasi pelajar dan menyediakan pelajar dengan ilmu teknologi tersebut. Pelajar juga mendapat peluang mempelajari dan menimba ilmu dari berbagai sumber dengan berbagai pendekatan.

            Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sesetengah mata pelajaran seperti matematik telah dikenalpasti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran yang dijalankan di dalam kelas. Kadangkala kaedah pengajaran yang digunakan akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lembab dan pasif serta bertumpu kepada guru semata-mata.


            Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan, maka wajarlah guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Salah satu perkara yang perlu ditekankan oleh para guru, terutamanya di bidang matematik ialah apakah cara yang sesuai untuk menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran masing-masing dan boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan bahan teknologi.

No comments:

Post a Comment

Nasihat Menasihati Itu Penting... So, Comment La Ape-ape saje...