Saturday, March 6, 2010

Tokoh-tokoh & Aliran-aliran Seni Barat

Definisi catan

Proses melukis dengan menggunakan bahan pewarna atau cat yang di sapu ke atas sesuatu permukaan.
• Komponen alat dan media yang digunakan ialah cat seperti cat air, cat minyak dan cat arkrilik. Kanvas, kertas, air, minyak linseed, turpentin dan sebagainya. Berus, pisau lukis dan sebagainya.

Sejarah Seni Catan

• Sejarah catan bermula pada zaman Yunani Purba. Pada masa itu aktiviti catan hanya menggambarkan kisah-kisah keagamaan. Media yang digunakan adalah seperti mozek dan fresko.
• Zaman Renaissance pada kurun ke-17 merupakan zaman kemuncak seni lukis di Eropah sehingga ke abad ke-18.Media yang digunakan ialah seperti cat minyak, air, tempera dan fresko.
• Pada kurun ke-19 dan 20, muncul beberapa aliran baru yang menentang pemikiran tradisi.
Karya Delacroix 
  • Karya ini telah dihasilkan pada aliran Romantisme.
  •  Berjodol Liberty Leading the People (1830).
  • Gaya karya distailisasikan seperti gaya gothik.







Karya Vincent Van Gogh

  • Karya ini dihasilkan pada Kurun ke-19.
  • Aliran Impressionisme.
  • Berjodol : Bedroom.
  • mempunyai garis-garis kasar dan warna yang terang.
  • Mencipta bentuk dan suasana yang dilihat. 

Karya Warhol
• Karya ini dihasilkan pada penghujung abad ke-20.
• Aliran Pop Art.
• Berjodol Marylin Monroe
• Tema aliran ini berkisar kebudayaan semasa dan yang popular pada masa itu.
• Gaya umpama poster untuk pengiklanan.

Aliran-aliran seni catan di barat

• Klasik
• Barroque
• Romanticisme
• Impressionisme
• Post-Impressionisme
• Ekspressionisme
• Kubisme
• Surelisme
• Seni Pop

Aliran Klasik

• Aliran ini lahir pada zaman Renaissance iaitu zaman kelahiran semula.
• Figura sebagai pemusatan tumpuan karya.
• Penumpuan kepada kadar banding dan anatomi.
• Menggunakan perspektif, ruang dan unsur seni.
• Karya-karya mendapat perhatian daripada golongan bangsawan.
• Hal benda yang dipaparkan banyak berkisar orang-orang bangsawan dan golongan kaya.
Leonardo Da Vinci
Michalengelo

Aliran Romanticism

• Istilah Romanticism telah wujud pada pertengahan abad ke-18.
• Karya aliran ini adalah lebih kepada gambaran sesuatu keadaan yang berlaku pada zaman itu.
• Mesej karya tertumpu kepada kedamaian, keharmonian, kecintaan.
• Hal benda karya tertumpu kepada ekspresi muka dan aktiviti figura
• Gaya karya masih terpengaruh dengan gaya gothik iaitu gaya zaman klasik.
• Penggunaan garisan luar yang terang.
• Tema karya tertumpu kepada kisah kesengsaraan, kejatuhan gereja dan pemerintahan beraja.
• Warna yang digunakan ialah warna yang kusam, suram dam kelam.
• Warna itu menggambarkan kesengsaraan, kezaliman yang berlaku pada zaman itu.
Delacroix
Delacroix

Delacroix

Goya

Goya

Aliran Barroque

• Zaman ini dikenali sebagai zaman renaissance tinggi.
• Barroque membawa maksud mutiara yang tidak sempurna tetapi indah.
• Karya menumpukan kepada komposisi, aksi, warna dan cahaya.
• Latar belakang karya berwarna gelap
• Karya tertumpu kepada objek
Rembrandt

Rembrandt

Rembrandt

Aliran Impressionisme

• Aliran muncul pada abad ke-19.
• Menumpukan kaedah konsep cahaya dan kesan objek yang dilihat.
• Warna tidak dicampur dengan hitam dan putih dan terus dipalit pada kanvas.
• Warna bertindih-tindih.
• Tidak melukis secara "detail".
• Mementingkan keserasian warna, cahaya serta watak-watak alam.
• Mengutamakan suasana yang dilihat contohnya seperti pagi, petang ,malam.
• Aliran ini condong kepada aliran naturalisme.
• Palitan warna spontan tentang apa yang dilihat. 
Monet
Monet

Degas


Van Gogh






Renoir




Aliran Post-Impressionisme

• Realiti itu sentiasa baru dan tegas
• bukan meniru bentuk tetapi mencipta bentuk.
• bukan meniru kehidupan tetapi mencari kesamaan di dalam kehidupan.
• melukis imej-imej yang mempunyai struktur dan logik untuk mencapai kesatuan antara isi yang berkait rapat.
• melukis sebagai pernyataan dan simbol diri.
• perspektif, bentuk dan warna adalah yang baru dan tidak mengikut orang lain.
• warna terang dan gelap adalah pancaran dari gerak hati spontan pelukis.
George Seurat

Cezanne



Gauguin

Aliran Kubisme

• Menolak tradisi catan yang mementingkan objek realiti.
• Menganggap seni sebagai satu konsep ke arah penciptaan dan menolak peniruan.
• Cuba menyelesaikan masalah 3 dimensi dalam 2 dimensi.
• Penggunaan bentuk-bentuk dan satah geometri.
• Seperti pecahan kaca dan menimbulkan kesan lutsinar.
• Warna yang bertenaga
Pablo Picasso
Duchamp






Aliran Ekspresionisme

• Menolak ciri-ciri tradisi klasik
• Seni adalah manifestasi perasaan dan keresahan emosi pelukis.
• Menolak peniruan alam dan menyingkir subjek dan objek.
• Penggunaan warna yang dramatik
• Tidak ada imej yang jelas.
• Kesan berus yang kasar dan kadangkala tidak menggunakan berus.
Kandinsky
Pollock

Aliran Surealisme

 
• Tumpuan bukan kepada ekspresi sedar pelukis tetapi kepada ekspresi bawah sedar minda pelukis.
• Terpengaruh dengan idea ahli falsafah Sigmund Frued.
• Paparan Imej-imej bawah sedar dan alam khayalan.
• Menyeramkan, sunyi dan tidak logik.
• Warna-warna gelap digunakan untuk menimbulkan seakan misteri.
• Objek diletakkan pada tempat yang tidak sesuai dan dicantum-cantum.
Salvador Dali
Aliran Seni Pop

• Berasaskan kepada persekiran dan kebudayaan popular yang mempengaruhi kota raya New York dan London.
• Tema, teknik, imej dan metos bersifat semasa dan populariti.
• Lebih mirip kepada karya pengiklanan dan pengguna.
• Pelukis seni pop terkenal dengan panggilan New Realist.
• Warna yang terang pada permukaan yang berbidang yang besar.
• Konsep modern yang mirip kepada kesesuaian zaman sains dan teknologi.


Sunday, January 24, 2010

Pengenalan Seni, Definisi Seni, Definisi Pendidikan & Definisi Pendidikan Seni

Pengenalan

Apabila membicarakan tentang seni, masyarakat umumnya lebih tertarik dengan seni yang lebih popular seperti seni muzik mahupun seni lakonan. Ini bertitik tolak daripada pendedahan yang meluas diterima bagi kedua-dua cabang seni tersebut. Lantaran itu, seni muzik dan seni lakonan ini mempunyai impak yang bukan sedikit ke atas khalayak di negara ini. Nama-nama kecil dan besar yang menguasainya begitu mudah bermain di bibir masyarakat, baik anak kecil, mahupun golongan yang lebih tua.

Namun begitu, apabila memperkatakan tentang seni visual, ianya seakan jauh terpinggir. Walaupun sebenarnya ia telah wujud lebih awal di kalangan masyarakat, kita masih merasakannya sebagai suatu cabang seni yang duduknya pada kelas kedua. Hanya golongan tertentu sahaja yang bener-benar menghayati seni visual dalam erti kata penghayatan estetika selayaknya.

Walaupun kewujudan seni visual adalah seusia dengan peradaban manusia, namun masyarakat di Malaysia masih memandang sinis akan kepentingannya di dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan budaya bangsa. Bermula dengan lebih dikenali sebagai Seni Lukis dan Pertukangan/ Pekerjaan Tangan di era sebelum merdeka sehinggalah beralih kepada Seni Visual sejak kebelakangan ini, namun martabatnya masih diletakkan pada tempat yang sama.

Lantaran itu, sejajar dengan hasrat untuk membentuk warga negara yang tahu menghargai budaya, mempunyai nilai-nilai norma kemasyarakatan yang luhur berpaksikan kepada Rukun Negara, maka perubahan demi perubahan dilakukan ke atas kurikulum pendidikan negara. Perubahan ini merangkumi pelbagai mata pelajaran di sekolah merangkumi peringkat rendah persekolahan sehinggalah ke peringkat tertinggi. Perubahan ini turut merangkumi mata pelajaran Pendidikan Seni yang dikira akan dapat mengangkat martabat seni visual khasnya ke suatu kedudukan yang lebih baik.

Di samping itu, ia juga menjadi serampang dua mata sebagai uasaha membentuk minda baru masyarakat Malaysia, tidak sekadar memandang seni dari sudut estetikanya sahaja malahan mampu mengangkat darjat dan peranan seni visual di dalam pembentukan ketamadunan negara.



i) Definisi Seni

Apa sebenarnya yang dinamai ‘ seni ’ itu sendiri? Terlalu banyak kupasan dan pendefinisian mengenai seni, baik melalui tokoh-tokoh sejagat mahupun tokoh seni tempatan. Baik kupasan berlandaskan estetika semata-mata mahupun pengertian seni yang dapat dikutip melalui kacamata agama. Ini melambangkan betapa luasnya kesenian itu sendiri lantaran manusia yang normal secara totalnya amat senang dengan sesuatu yang mempunyai nilai-nilai dan unsur seni.

Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.

Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ).
Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini. 

Kesimpulannya, biar dari sudut pandangan mana sekalipun, seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan. Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya dengan segenap pancaindera yang ada.

ii) Definisi Pendidikan

Pendidikan menurut Plato, seorang filosofis Yunani, ialah mengasuh jasmani dan rohani seseorang agar dapat sampai ke satu tahap keindahan dan kesempurnaan yang paling tinggi. Secara jelasnya, pendidikan adalah suatu usaha membentuk kesempurnaan dan keindahan di dalam diri individu. Pengertian ini adalah sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh salah seorang lagi filosofis Yunani iaitu.

Aristotle di mana beliau mengungkapkan pendidikan sebagai satu usaha untuk menyediakan akal-fikiran untuk diisikan dengan ilmu pengetahuan, sebagaimana menyiapkan tanah untuk diisikan dengan tanam-tanaman. 

Berdasarkan Kamus Dewan, pendidikan berasal daripada kata dasar didik yang membawa pengertian memelihara dan memberi latihan berupa ajaran ataupun pimpinan mengenai akhlak dan kecerdasan fikiran. Pendidikan pula membawa maksud proses mengubah sikap dan tata laku seseorang dalam usaha mematangkan individu tersebut. Secara jelasnya, pendidikan bolehlah ditakrifkan sebagai proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada seseorang.

Oleh kerana luasnya konsep pendidikan itu disamping pertalian intimnya dengan ilmu, para cendikiawan seringkali memberi pendefinisian tentang pendidikan berdasarkan cabang ilmu masing-masing bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas. Umpamanya, di dalam Islam sendiri, konsep ilmu terbahagi kepada dua, iaitu ilmu akhirat ( ukhrawi ) dan ilmu keduniaan ( duniawi ). Bertitik-tolak daripada kefahaman tersebut, Abdul Halim el-Muhammady mentakrifkan pendidikan daripada kacamata Pendidikan Islam sebagai suatu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, Quran dan Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta ilmuwan muktabar dengan matlamatnya bagi melahirkan insan yang soleh. 

Manakala penganut aliran Fungsionalisme melihat individu tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai untuk dirinya. Pendidikan bagi mereka bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu bagi dirinya tetapi untuk keperluan komuniti dan masyarakatnya. Ini adalah lantaran masyarakatlah yang menentukan baik dan buruknya sesuatu perkara. 

Salah seorang penganut aliran ini, Durkheim ( 1956 ) umpamanya mendefinisikan pendidikan sebagai penerapan pengaruh generasi dewasa kepada mereka yang memasuki era baru dalam kehidupan sosial. Mereka yang dididik adalah dikehendaki mempelajari dan mempraktikkan nilai-nilai keperluan sebagaimana yang dikehendaki oleh generasi yang lebih awal. Oleh itu, secara umumnya Durkheim menganggap fungsi pendidikan adalah untuk mengekalkan masyarakat dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif masyarakat dalam diri invidu.

John Dewey, seorang pakar pendidikan Amerika Syarikat mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses perkembangan individu. Menurut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan selamat.

Hj. Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih di kenali sebagai Hamka iaitu salah seorang tokoh pendidikan Islam yang paling berpengaruh di Indonesia. Beliau mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses yang boleh membentuk tingkah laku yang baik, sikap yang berani serta budi pekerti yang mulia seperti sikap rendah diri, sabar, menghormati orang tua dan sebagainya.

Rabindranath Tagore, salah seorang ahli falsafah dan penyair India yang terkemukamenyatakan pendidikan sebagai suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang berfikiran sempurna, berupaya mencapai segala aspek kehidupan dengan penuh makna. Menurut beliau, pendidikan tidak seharusnya hanya terikat dengan buku, tetapi harus dihubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan sebenar manusia.

Oleh itu, pendidikan secara jelasnya boleh dilihat sebagai suatu proses berterusan dalam usaha membentuk individu bagi memenuhi keperluan diri dan masyarakatnya, berlaku samada secara formal ataupun non-formal. Ini adalah kerana, setiap individu, terutamanya individu muslim, telah ditetapkan secara jelas tujuan matlamat pendidikan tersebut.

iii) Definisi Pendidikan Seni

Pendidikan Seni Di Dalam Sistem Pendidikan Formal Negara bermaksud program pendidikan yang bersistem, terancang dan boleh diukur prestasinya bagi memenuhi keperluan individu dan aspirasi negara. Ia merangkumi idea-idea yang dicetuskan melalui lukisan, ukiran dan pelbagai kemahiran tangan yang lain yang diadunkan daripada pengalaman murid dan apa yang telah dipelajari.

Feldman ( 1996 ) memberikan pendefinisian pendidikan seni sebagai usaha yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran membuat dan memahami seni, di samping mengetahui tentang dunia dan diri kita sendiri melalui seni. Seni yang dimaksudkan di sini adalah meliputi apa jua cabang seni visual seperti catan, arca, seni bina, reka bentuk industri, garafik komputer, serta apa jua yang berkaitan dengan seni, baik yang berupa seni tampak tradisional mahupun seni moden.

Pendidikan seni merangkumi pelbagai kaedah dan teknik yang digunakan di dalam penghasilan produk seni, mempelajari sejarah dan antropologi seni, membezakan makna seni serta melihat nilai produk seni individu. Lantaran itu, pendidiikan seni lebih menitik beratkan pemikiran, perbuatan dan penilaian yang original di samping memberi kesempatan untuk individu itu memperkembangkan idea semulajadinya secara teratur menerusi peringkat-peringkat perkembangan yang artistik.

Kesimpulannya, pendidikan seni merupakan suatu sistem pengajaran dan pembelajaran seni tampak yang terancang dan mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas. Pendidikan seni adalah suatu sistem pengajaran dan pembelajaran yang bermatlamat melahirkan individu yang celik seni bagi diri dan masyarakatnya

Pandangan Tokoh-tokoh Barat, Timur dan Islam Tentang Seni dan Kesenian

Seni dan kesenian.

C) Pandangan tokoh-tokoh mengenai Pendidikan Seni

Pendidikan Seni merupakan suatu program pendidikan yang bersistem dan mempunyai matlamat serta hala tuju yang jelas. Terdapat banyak pendapat dan pandangan yang diutarakan mengenainya oleh para pemikir seni. Setiap tokoh-tokoh tersebut mengutarakan pandangan mengikut pendekatan masing-masing.

Herbert Read dan Viktor Lowenfeld berpendapat Pendidikan seni seharusnya berasaskan aspek psikologi yang melihat kepada perkembangan kanak-kanak dalam melahirkan pernyataan dirinya. Dalam konteks ini, guru seni perlu melihat potensi kedua-dua pihak, pelajar dan guru itu sendiri dari asoek motivasi, personaliti dan sebagainya.

Eisner ( 1967 ), Pendidikan Seni dan kreativiti bukanlah diperolehi secara mutlak, sebaliknya ia harus dipupuk melalui proses pembelajaran. Selain daripada itu, beliau juga berpandangan kreativiti dan kebolehan kanak-kanak adalah berbeza berdasarkan latar belakang dan pengalaman mereka. Berdasarkan kajian beliau, kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah mempunyai kebolehan yang rendah berbanding dengan kanak-kanak sebaliknya.

Feldman ( 1996 ) berpendapat pendidikan seni sebagai usaha yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran membuat dan memahami seni, di samping mengetahui tentang dunia dan diri kita melalui seni. Seni yang dimaksudkan di sini adalah seni visual yang merangkumi keseluruhan bidangnya. Ini adalah kerana seni visual adalah berkait rapat dengan alam dan persekitarannya yang turut merangkumi manusia dan kemanusiaannya, kebudayaan dan lain-lain altiviti yang berkai dengan kehidupan. Secara jelasnya, pendidikan seni mempunyai peranan di dalam segenap aspek kehidupan samada sosial, politik, kebudayaan mahupun ekonomi.

ii) Pandangan Barat tentang kesenian

Menurut Herbert Read, seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik. Keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ini adalah kesan yang timbul daripada samada sewaktu menghasilkan produk seni mahupun menikmati hasil seni. Kedua-dua pihak samada artis mahupun pemerhati seni akan merasai kesan-kesan tersebut.

Clive Bell ( Syed Ahmad Jamal, 1994 ) berpendapat bahawa emosi yang dialami apabila menghayati sesebuah karya seni adalah emosi yang tersendiri dan berada di dalam alam yang asing.

Pada asasnya, menurut barat, seni adalah pernyataan dan teknik pembuatannya. Seni memberi bentuk tampak kepada bentuk yang terpendam, dipersembahkan di dalam bentuk imej yang dapat dilihat. Dalam kebudayaan manpun, perasaan dan fikiran dapat dilahirkan melalui seni. Seni merupakan intisari kemanusiaan lambang suatu kumpulan manusia dalam kebudayaannya.

Crose dan Collingwood ( Syed Ahmad Jamal, 1994 ) berpendapat bahawa, karya seni itu suatu imej mental. Objek yang ideal yang dinyatakan di dalam bentuk fizikal melalui bahan yang terhasil daripada karya sebenar dalam fikiran pemerhati. Beliau sebenarnya menyokong pendapat yang menyatakan bahawa seni adalah pernyataan rasa yang imaginatif. Ini adalah kerana beliau cuba membezakan seni dengan kraf. Kraf pada pandangan beliau merupakan aktiviti mengubah bahan mentah menjadi barangan dengan menggunakan kemahiran yang boleh dipelajari.

Konsep seni mempunyai pertalian yang erat dengan estetika. Menurut pandangan Barat, estetika bererti sesuatu yang berkaitan dengan pengamatanterhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan aspek kegunaannya.

Perkataan estetika mula digunakan oleh Baumgarten pada tahun 1735. Menurutnya, keindahan mestilah diasingkan daripada estetika kerana barang yang buruk boleh diterima dengan cara yang indah dan sebaliknya.
Kebudayaan Barat telah memisahkan seni dengan agama. Pemisahan ini wujud dengan lahirnya sekularisme. Lantaran itu, seni menjadi suatu yang bebas. Demi seni, semuanya dibolehkan sehingga melahirkan kepelbagaian aliran di dalam seni itu sendiri seperti ekspressionisme, kubisme, impressionisme dan sebagainya.

Pandangan Tokoh Barat

a) Plato (347 SM)
- Lukisan adalah 3 kali terpisah daripada
kebenaran.
- Seni dan pendidikan perlu dipandukan kepada
kebenaran, kebaikan, kesempurnaan, kesejahteraan dan
keindahan.
- Dikatakan dengan perlakuan, akhlak, nilai dan moral.
- Mencipta sesuatu persekitaran yang berbudaya dan
meningkatkan perpaduan:
: Lukisan dibincang dengan konsep imitasi.
: Membandingkan lukisan dengan kebenaran.
: Pelukis meniru objek yang dibuat oleh tukang pembuat.

b) Aristotle (384-322SM)
- pelukis tidak meniru tetapi memberi struktur bentuk kepada benda
alam, maka seni itu baik.

c) Pestalozzi (1746-1827)
- Memberi peluang kepada kanak-kanak belajar seni sama ada
berbakat atau tidak, seni diberi penekanan kepada konsep
kepentingan aktiviti mata dan tangan.
- Kerja tangan atau kraftangan diajar dengan konsep sepanjang
hayat, aktiviti bercorak praktikal.

d) Herbert Read
- Seni adalah penghasilan rupa dan bentuk yg menimbulkan
keceriaan, keseronokan dan kedamaian estetik.
- Seni alat untuk mendidik seseorang
- Seni boleh menyatukan semua Negara (pendidikan dan
pembentukan diri)

e) Frank Cizek ( 1865-1946)
- Seni sebagai satu peranan ekspresi bebas dalam
pendidikan .
- Kanak-kanak diberi ruang untuk melukis mengikut
pandangan mereka supaya tidak hilang kreativiti dan sifat
keperibadian diri.
-Seni mewujudkan suasana gembira, suka, riang,
minat untuk belajar dan memajukan diri.

f) John Dewey (1859 – 1952)
- Aktiviti seni merupakan satu pengalaman kepada kanak-kanak.
- Memberi kebebasan kepada kanak-kanak menysun
pengalaman untuk mencerdaskannya. (kreativiti, pemikiran)

g) Walter Gropius
- Seni visual memberi faedah kepada kehidupan seharian
seperti dalam prinsip-prinsip rekaan dan nilai estetik bagi
menghasilkan barangan harian eg. Kerusi,meja dsb.
- Ianya mengabungkan seni, pertukangan, sains dan
teknologi.

h) Efland dan Laura H. Chapman
- Seni adalah untuk masyarakat
- Seni dan kreativiti menjadi satu unsur imaginasi.

i) Lansing
- Seni dapat mengembangkan potensi pemikiran, sikap dan
psikomotor.

j) June McFee
- Menekan kpd kesenian dan individu serta seni dalam masyarakat
warisan budaya.

k) Feldman
- Seni dan kebudayaan tunjang pembangunan seni manusia.

Sememangnya telah sekian lama mewarnai ketamadunan, peradaban dan kebudayaan manusia. Peredaran masa memperlihatkan perubahannya yang berkembang seiring dengan kehendak persekitaran dan naluri manusia itu sendiri. 

Lantaran itu, kita dapat melihat variasi dan kepelbagaian pandangan yang dilontarkan oleh tokoh-tokoh seni seantero dunia. Kepelbagaian pandangan tersebut sebenarnya turut menjadi perencah di dalam mewujudkan kepelbagaian genre, aliran, teknik serta variasinya seni itu sendiri. 

Sejajar dengan peranan seni dan kesenian di dalam kaitannya dengan warisan dan kebudayaan masyarakat, pandangan tokoh-tokoh yang dilontarkan mencerminkan apa yang sebenarnya mampu diterjemahkan oleh seni dan kesenian itu sendiri di dalam masyarakat. 

Seni dan kesenian terlalu akrab dengan aspek keagamaan, sosial, politik, ekonomi serta kebudayaan sehingga para ilmuwan dalam setiap bidang tersebut turut terpanggil untuk membentuk seni dan kesenian yang sejajar aliran dan fahaman mereka.


i) Pandangan Islam tentang seni dan kesenian di dalam Islam

Sering kali timbulnya pertanyaan adakah kaitannya antara seni dengan agama Islam itu sendiri? Pertanyaan tersebut sebenarnya telah mengundang perdebatan demi perdebatan sejak berabad lamanya. Lalu, sebagai jalan keluar daripada polemik yang timbul, maka para seniman Islam telah mencipta suatu dimensi baru di dalam kesenian. Islam sebenarnya penuh dengan kesenian. Intipati kesenian islam adalah tauhid. Ia merupakan penyatuan, ketauhidan kepada Maha Pencipta. Kesan daripada ketauhidan tersebut lahirlah keindahan dan kesatuan yang harmoni yang membentuk acuan yang tersendiri. 

Melalui asas-asas tauhid juga terbentuk dunia Islam yang berkembang secara organik, yang melalui berbagai proses transformasi adaptasi daripada unsur-unsur alam. Jelasnya, kesenian Islam adalah terbentuk dan terikat kukuh di dalam konsep ‘ tauhid ’ itu sendiri. Bagi agama Islam, agama bukanlah kebudayaan. Setiap perbuatan di dalam Islam mestilah berpaksikan kepada agama sementara budaya bergerak selari dengan kehendak agama.

Di sinilah wujudnya perbezaan jelas di antara kesenian Islam dengan bukan Islam. Seni di dalam Islam adalah kerana Allah manakala seni bukan Islam mementingkan estetika semata-mata tanpa mempunyai ikatan kukuh dengan keagamaan. Islam menuntut umatnya menjalankan aktiviti kesenian berpandukan akhlak Islam.

Pandangan Tokoh Timur dan Islam

a) Muslim
–Dalam kitab Al-Iman.
–Org yg mempunyai ilmu seni bertemu dgn objek alam s/jadi dapat mencipta suatu karya dan menghargai objek tersebut.

b) Pandangan Al-Ghazali
- Seni bersandarkan daripada Allah kpd Allah.
- Seni menuju kepada Al-Falah ( keredhaan Allah )
- Pemangkin kepada ketaqwaan ( tawaduk & beriman )

c) Sidi Ghazalba
- Seni tidak melampui batas kesusilaan
- Seni bertunjang daripada Allah kepada Allah
- Hasil seni itu bertunjang “mardatillah” ( diredhai Allah)
-Seni membentuk peribadi muslim

Saturday, January 16, 2010

Unsur-unsur Seni

- Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:
• Garisan
• Rupa
• Bentuk
• Jalinan
• Ruang
• Warna

- Garisan
Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

- Rupa
Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya.Aplikasi melalui rupa garisan, warna dan jalinan. Mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim. Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.

- Bentuk
Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan biasanya bentuk mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Gabungan daripada rupa dapat menghasilkan bentuk. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi.

- Jalinan
Jalinan ialah sifat permukaan yang terdapat pada sesuatu objek dan boleh dikesan secara penglihatan (tampak) atau sentuhan. Jalinan pada permukaan objek alam sekeliling dan objek buatan manusia mempunyai kesan tampak yang berbeza. Tuhan menjadikan setiap objek alam dengan jalinan tertentu untuk manusia memikirkannya. Setiap jalinan mempunyai fungsi dan nilainya tersendiri. Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.

-Ruang
Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.

-Warna
Warna pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

Prinsip-prinsip Rekaan

Harmoni
-wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu. Tujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.

Kontra
-wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).

Penegasan
-ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih dramatik.

Imbangan
-ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan. Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, imbangan tidak simetri dan imbangan semua arah.

Pergerakan
-wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar, bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.

Kepelbagaian
-merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.

Kesatuan
-merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

Seni & Keindahan

Pengenalan

Seni visual adalah satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Kebanyakan disiplin kesenian seperti seni persembahan, bahasa dan masakan melibatkan aspek seni visual dan lain-lain seni, jadi definisi seni tidak terhad.

Dengan kata lain seni visual adalah sesuatu hasil/ciptaan yang boleh dinampak melalui penglihatan mata. Hasil/karya itu adalah bersumberkan daya fikiran dan kesenian yang mutlak dalam minda seseorang dan seterusnya diterjemahkan kepada objek yang nyata serta boleh dilihat seperti gambar, arca, model dan sebagainya.

Pengertian

Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik, teknik dan sesuatu yang bukan sains.  

Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk penghasilan dan pencipataan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu.

Jadi, seni adalah ilmu terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya.

 Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian.

Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi. Nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silang.

Seni visual dan pendidikannya

  • Seni visual adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu karya seni dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi. 
  • Dalam hidup harian, kami sentiasa bertembung dengan barang-barang hasil daripada bidang seni seperti kereta, pen, majalah, makanan dsb. 
  • Jadi, bidang ini telah dijadikan sebahgian daripada kurikulum di sekolah dan institut pengajian tinggi. 
  • Di Malaysia, subjek "seni visual" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Namun, buku rujukan untuk STPM adalah terhad dan cuma sebuah buku yang diterbit oleh Oxford Fajar dijual di pasaran. 
  • Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui internet supaya mereka diperlengkapkan pengetahuan yang mencukupi bagi menduduki STPM. 
  • Subjek ini adalah mustahak kerana ia adalah ilmu asas bagi mereka yang akan mngikuti senireka dalaman, senireka grafik, senireka automobil, fesyen, tekstil dsb.

Keindahan

Setiap orang mempunyai persepsi terhadap keindahan yang lain. Sesuatu objek yang kelihatan indah mungkin tidaklah 'cantik' kepada orang lain. Jadi, mesej yang disampaikan serta maksud yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya/hasil seni ini adalah amat penting. Contohnya, seseorang anggap poster yang mempunyai sebaris perkataan "A Star is Born" dan ilustrasi seperti satu bintang di latar belakang yang gelap tidaklah begitulah cantik dan indah. Namun, ia adalah 100% indah jika ia dapat memenuhi kehendak untuk poster itu serta mesej yang disampaikan adalah ringkas dan jelas.

Oleh itu, keindahan dalam sesuatu hasil seni perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

* Objek: Subjek yang menjadi fokus utama dalam suatu karya (contoh: figura manusia  dalam poster konsert)

* Komposisi: Unsur seni dan prinsip seni yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu  karya (contoh: garisan pada suatu lukisan dengan warna harmoni digunakan)

* Tema: Tajuk dan fokus penting untuk sesuatu karya (contoh, derma darah adalah sasaran penting dalam suatu poster)

* Makna: mesej di sebalik suatu karya adalah jelas

* Fungsi: Fungsinya adalah fungsi estetik ataupun fungsi penggunaan atau kedua-duanya