Mudah
Memahami Konsep
Penggunaan
multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat
memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep. Dengan adanya gabungan teks,
grafik, audio, video dan animasi, pelajar lebih mudah memahami konsep yang
ingin disampaikan oleh guru. Sebagai contoh, dalam mengajar Sistem Pencernaan
Manusia, guru boleh menggunakan teks, grafik dan animasi bagi menunjukkan apa
yang berlaku kepada makanan yang dimakan oleh seseorang bermula daripada
makanan itu dimasukkan ke dalam mulut sehinggalah ia diserap ke dinding usus
dan bahan buangan dikeluarkan dari badan sebagai najis.
Dalam
topik Sudut Dongakan dan Sudut Tunduk dalam Matematik Tingkatan Empat,
misalnya, penggunaan gambar dan video boleh digunakan bagi menunjukkan
penggunaan konsep nisbah trigonometri dan sudut dongakan dan sudut tunduk untuk
menyelesaikan masalah harian seperti menganggar tinggi tiang bendera. Dengan
cara ini, konsep yang dibina dapat diperkukuhkan lagi.
Mengingat
Lebih Lama
Dalam
dunia pendidikan, penilaian dalam bentuk ujian dan peperiksaan amat penting
bagi menguji keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Keputusan peperiksaan yang cemerlang amat penting bagi pelajar untuk melayakkan
diri mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Setiap
pelajar mempunyai kemampuan pembelajaran yang berbeza (Gardner, 1993). Pelajar
yang pencapaiannya sederhana dalam sesuatu mata pelajaran perlu dibantu bagi
membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam
seperti PMR dan SPM. Dalam zaman era teknologi maklumat ini, multimedia dapat
membantu pelajar ke arah itu. Konsep yang digunakan ialah ‘membawa guru balik
ke rumah pelajar bagi membantu pelajar membuat ulangkaji’.
Menurut
Gagne (1985) untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran pelajar perlu
mengulangi pelajaran itu beberapa kali. Kaedah pembelajaran berulang menjadikan
sesuatu perkara itu mudah difahami dan diingati lebih lama. Penghasilan VCD
Fokus Skrin, dengan merakam penerangan guru mengenai sesuatu konsep dan rakaman
dibuat berfokus kepada skrin komputer
atau LCD.
Pelajar
seolah-olah melihat penerangan guru kepada sesuatu konsep di rumah dan jika
kurang faham boleh diulangtayang seberapa banyak kali yang dikehendaki sehingga
faham. Ini dapat mengatasi defisit pembelajaran di dalam kelas. VCD ini boleh
digunakan juga apabila hampir dengan peperiksaan untuk mengingat kembali konsep
yang telah diajar.
Menarik
minat pelajar
Sesetengah
mata pelajaran seperti Matematik, merupakan suatu mata pelajaran yang mencabar
bagi kebanyakan pelajar. Penggunaan multimedia dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik dapat menarik minat pelajar kepada subjek berkenaan.
Multimedia memudahkan pemahaman-pemahaman idea-idea Matematik yang abstrak. Ia
membantu dalam penyiasatan masalah Matematik dan menunjukkan maklumbalas perubahan
bentuk objek atau ukuran secara spontan. Contohnya, dengan perisian Geometer’s
Sketchpad (GSP), perubahan satu titik pada objek akan mengubah bentuk objek
tersebut, perubahan nilai data akan mengubah nilai data berkaitan secara
spontan dalam MS-Excel.
Guru
perlu menunujukkan sikap yang positif terhadap matematik kerana ia akan
memberikan kesan kepada sikap pelajar. Guru yang menunjukkan minat terhadap
matematik akan mendorong pelajar untuk meminatinya. Biasanya minat pelajar
berdasarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu
melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka
berminat dalam pembelajaran pelajar mereka. Ini dapat dilakukan dengan
menggunakan teknologi seperti komputer dan internet. Para guru boleh
mendapatkan maklumat daripada laman-laman web matematik yang ada dan
menggabungkannya dengan konsep yang diberikan dalam buku teks dan buku rujukan
dalam membina bahan pengajaran sendiri dengan
menggunakan perisian GSP dan MS-Powerpoint. Dengan bahan pengajaran dalam
bentuk multimedia ini dapat mengurangkan rasa bosan pelajar terhadap matematik.
Penjimatan
masa
Masa
itu emas. Ia sangat berharga terutama
kepada seorang guru dan pelajar. Melalui bahan multimedia yang telah
disediakan sendiri atau melalui bahan pengajaran yang dibekalkan kepada
sekolah, guru dapat menjimatkan masa melukis rajah yang agak kompleks di atas
papan tulis. Contohnya dalam matapelajaran Biologi, guru tidak perlu melukis
rajah jantung di papan tulis. Dengan mudah rajah jantung boleh diperolehi
daripada internet dan guru hanya perlu muat turun rajah dan maklumat tersebut
seterusnya boleh ditayangkan kepada pelajar di dalam kelas menggunakan projektor
LCD. Bahan ini boleh digunakan untuk mengajar kelas-kelas yang lain atau boleh
digunakan oleh guru-guru yang lain dengan mudah dan cepat.
Dengan
menggunakan kaedah auditori dan visual dalam mempersembahkan maklumat, pelajar
dapat memproses maklumat itu dengan lebih cepat dan dengan itu proses
pembelajaran dapat digalakkan.(Michelich.V.,2001)
Kaedah
mengajar berpusatkan murid – guru bertindak sebagai pembimbing
Menurut
kajian yang dilakukan Al Ghamdi (1987), mendapati bahawa perisian komputer yang
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar
memahami konsep dan prinsip Matematik dengan mudah dan efektif.
Menurut
Key Curriculum Press (2001) Perisian Geometer’s Skechpad, GSP ialah sebuah sistem
perisian untuk membina , meneroka dan menganalisis secara luas dalam bidang
Matematik. Menggunakan perisian ini kita boleh meneroka dan membina model
Matematik interaktif daripada penyiasatan yang asas hingga ilustrasi yang
kompleks. Sebagai contoh guru boleh membimbing pelajar menyiasat nisbah
perimeter kepada diameter bagi beberapa buah bulatan untuk mendapatkan nilai π
iaitu 3.142 atau , meneroka soalan-soalan berkaitan dengan tangent sebuah
bulatan dan masalah-masalah terbuka. Pelajar boleh melakukan pembinaan geometri
dan mereka sendiri menentukan formula untuk menghuraikan
perhubungan-perhubungan yang mereka temui. Selain daripada itu pelajar boleh
melihat dengan jelas bagaimana penjelmaan yang terdiri daripada translasi,
pantulan, putaran dan pembesaran berlaku, menerangkan sifat-sifat setiap penjelmaan
itu secara meneroka dan menyiasat. Ini boleh menarik minat pelajar terhadap
keindahan matematik dan cuba mengaitkannya dengan dunia sebenar.
Membina
kemahiran kolaboratif pada pelajar – beri satu projek multimedia
Penggunaan
multimedia di dalam kelas (Ju-Ping Chung, 2004) boleh membina pengajaran
berpusatkan murid yang mana dapat membantu murid memperkembangkan kemahiran
koperatif, meneroka dan menyiasat. Guru boleh memberi satu tugasan kepada
pelajar secara berkumpulan dan pelajar diminta menggunakan perisian
MS-Powerpoint dan maklumat daripada internet bagi mempersembahkan tugasan
tersebut. Bagi menjimatkan masa laman web yang berkenaan diberi kepada setiap
kumpulan. Guru membimbing pelajar dalam melaksanakan tugasan tersebut. Ini
secara tidak langsung dapat mendorong pelajar mengambil bahagian dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Kemahiran
mencari dan menganalisis maklumat
Dengan
menggunakan teknologi komunikasi, guru dan pelajar memperoleh kemahiran baru
untuk mengajar dan belajar. Menurut Ashnida, Afendi & Shabri (2004), tugas
guru yang menggunakan PBBK (Pengajaran Bahasa Berbantukan Komputer) di dalam
kelas meliputi semua aspek iaitu sebagai fasilitator, pengurus sumber dan juga
pengajar. Guru membimbing pelajar membuat tugasan masing-masing. Pada pihak
pelajar pula, mereka dapat belajar bagaimana cara untuk mencari dan mendapatkan
maklumat dan mengaplikasikan maklumat yang didapati ke dalam tugasan mereka.
Membimbing
pelajar membina kemahiran berfkir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dan memberi peluang kepada pelajar menyerlahkan
kebolehan mereka di dalam kelas
Bagi
sekolah-sekolah di Malaysia Matematik dianggap sebagai satu bidang ilmu yang
melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan
masalah dan membuat keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia,2000) Berpegang
pada pandangan tersebut, kurikulum Matematik peringkat sekolah bertujuan
membentuk pelajar yang berpemikiran mantik, bersistem serta berketrampilan dalam
menggunakan pengetahuan matematik secara berkesan.
Dengan
menggunakan teknologi multimedia melalui komputer dan internet, pelajar dapat
dibimbing mencari maklumat-maklumat tambahan daripada apa yang terdapat di
dalam buku teks. Mereka dapat melihat bagaimana sesuatu masalah itu dapat
diselesaikan menggunakan kaedah yang berbagai-bagai. Ini dapat membina
kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, secara mantik dan bersistem dalam
menyelesaikan masalah.
Dalam
dunia pekerjaan sekarang, kemahiran menggunakan teknologi komputer dan
multimedia amat diperlukan. Dengan pendedahan di peringkat sekolah iaitu
melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, dapat menambah
literasi pelajar dan menyediakan pelajar dengan ilmu teknologi tersebut. Pelajar
juga mendapat peluang mempelajari dan menimba ilmu dari berbagai sumber dengan
berbagai pendekatan.
Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, sesetengah mata pelajaran seperti matematik
telah dikenalpasti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam
proses pengajaran yang dijalankan di dalam kelas. Kadangkala kaedah pengajaran
yang digunakan akan menyebabkan proses pembelajaran menjadi lembab dan pasif
serta bertumpu kepada guru semata-mata.
Memandangkan
sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan, maka
wajarlah guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup
berkesan. Salah satu perkara yang perlu ditekankan oleh para guru, terutamanya
di bidang matematik ialah apakah cara yang sesuai untuk menggalakkan
penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran masing-masing dan boleh
berkomunikasi dan berinteraksi dengan bahan teknologi.