Saturday, January 16, 2010

Unsur-unsur Seni

- Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:
• Garisan
• Rupa
• Bentuk
• Jalinan
• Ruang
• Warna

- Garisan
Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

- Rupa
Rupa ialah hasil pertemuan hujung garisan dengan permulaannya.Aplikasi melalui rupa garisan, warna dan jalinan. Mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim. Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.

- Bentuk
Bentuk ialah lanjutan daripada pemahaman rupa. Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan biasanya bentuk mempunyai lebih daripada satu permukaan. Bentuk mempunyai struktur dalaman. Gabungan daripada rupa dapat menghasilkan bentuk. Bentuk terbahagi kepada bentuk dua dimensi, tiga dimensi dan pelbagai dimensi.

- Jalinan
Jalinan ialah sifat permukaan yang terdapat pada sesuatu objek dan boleh dikesan secara penglihatan (tampak) atau sentuhan. Jalinan pada permukaan objek alam sekeliling dan objek buatan manusia mempunyai kesan tampak yang berbeza. Tuhan menjadikan setiap objek alam dengan jalinan tertentu untuk manusia memikirkannya. Setiap jalinan mempunyai fungsi dan nilainya tersendiri. Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.

-Ruang
Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan lebih jelas dan lebih besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. Manakala dalam karya seni visual, ruang diwujudkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.

-Warna
Warna pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

Prinsip-prinsip Rekaan

Harmoni
-wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu. Tujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.

Kontra
-wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).

Penegasan
-ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih dramatik.

Imbangan
-ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan. Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, imbangan tidak simetri dan imbangan semua arah.

Pergerakan
-wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar, bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.

Kepelbagaian
-merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.

Kesatuan
-merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

Seni & Keindahan

Pengenalan

Seni visual adalah satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Kebanyakan disiplin kesenian seperti seni persembahan, bahasa dan masakan melibatkan aspek seni visual dan lain-lain seni, jadi definisi seni tidak terhad.

Dengan kata lain seni visual adalah sesuatu hasil/ciptaan yang boleh dinampak melalui penglihatan mata. Hasil/karya itu adalah bersumberkan daya fikiran dan kesenian yang mutlak dalam minda seseorang dan seterusnya diterjemahkan kepada objek yang nyata serta boleh dilihat seperti gambar, arca, model dan sebagainya.

Pengertian

Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik, teknik dan sesuatu yang bukan sains.  

Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk penghasilan dan pencipataan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu.

Jadi, seni adalah ilmu terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya.

 Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian.

Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi. Nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silang.

Seni visual dan pendidikannya

  • Seni visual adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu karya seni dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi. 
  • Dalam hidup harian, kami sentiasa bertembung dengan barang-barang hasil daripada bidang seni seperti kereta, pen, majalah, makanan dsb. 
  • Jadi, bidang ini telah dijadikan sebahgian daripada kurikulum di sekolah dan institut pengajian tinggi. 
  • Di Malaysia, subjek "seni visual" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Namun, buku rujukan untuk STPM adalah terhad dan cuma sebuah buku yang diterbit oleh Oxford Fajar dijual di pasaran. 
  • Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui internet supaya mereka diperlengkapkan pengetahuan yang mencukupi bagi menduduki STPM. 
  • Subjek ini adalah mustahak kerana ia adalah ilmu asas bagi mereka yang akan mngikuti senireka dalaman, senireka grafik, senireka automobil, fesyen, tekstil dsb.

Keindahan

Setiap orang mempunyai persepsi terhadap keindahan yang lain. Sesuatu objek yang kelihatan indah mungkin tidaklah 'cantik' kepada orang lain. Jadi, mesej yang disampaikan serta maksud yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya/hasil seni ini adalah amat penting. Contohnya, seseorang anggap poster yang mempunyai sebaris perkataan "A Star is Born" dan ilustrasi seperti satu bintang di latar belakang yang gelap tidaklah begitulah cantik dan indah. Namun, ia adalah 100% indah jika ia dapat memenuhi kehendak untuk poster itu serta mesej yang disampaikan adalah ringkas dan jelas.

Oleh itu, keindahan dalam sesuatu hasil seni perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

* Objek: Subjek yang menjadi fokus utama dalam suatu karya (contoh: figura manusia  dalam poster konsert)

* Komposisi: Unsur seni dan prinsip seni yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu  karya (contoh: garisan pada suatu lukisan dengan warna harmoni digunakan)

* Tema: Tajuk dan fokus penting untuk sesuatu karya (contoh, derma darah adalah sasaran penting dalam suatu poster)

* Makna: mesej di sebalik suatu karya adalah jelas

* Fungsi: Fungsinya adalah fungsi estetik ataupun fungsi penggunaan atau kedua-duanya